Tuesday 20 October 2015

Rahsia solat Bahagian 2

 

DISIPLIN DARI FALSAFAH AZAN DAN IQOMAT


Selepas wuduk, Islam sarankan seruan azan dan iqomah sebelum melakukan solat. Itu yang kita didik anak-anak kita secara ritualnya. Kali ini kami kongsikan bagaimana kami terapkan falsafah di sebalik azan ini sebagai tarbiah untuk mendisplinkan anak dalam kehidupan harian.

Umat Islam itu ibarat sebatang tubuh. Masing-masing ada fungsi yang ditetapkan untuk mampu bekerjasama. Sebagaimana dibincangkan dalam artikel wudhuk sebelum ini. Semua anggota ini perlu disucikan dengan aliran ilmu sebelum ia boleh berfungsi untuk menyucikan yang lain dan melakukan kerja untuk membangun agama melalui disiplin solat. Contoh mudah ialah tapak tangan harus disucikan dahulu sebelum layak menyucikan anggota yang lain. Diri kita sendiri harus sudah bersih sebelum mampu mencegah keji dan mungkar dalam solat.

Kerana itu, “Solat yang sempurna adalah dari wudhuk yang sempurna”.

Azan pula dari segi bahasanya bermaksud permberitahuan. Ia berasal daripada kata akar ‘uzunun’ bermaksud telinga. Pastinya ia melibatkan fungsi pendengaran sebagai manusia untuk memproses apa-apa seruan yang telah disampaikan. Istilah itu dapat dilihat contohnya dalam surah At-Taubah ayat 3: “Dan ini adalah 'pemberitahuan' dari Allah dan Rasul-Nya kepada manusia”. Kita pula lazim mengenalinya sebagai satu bentuk ritual 'seruan' untuk mendirikan solat.

INTI 'SERUAN' DALAM AZAN DAN IQOMAH

TAKBIR 4KALI (2X2): Kalimah pertama ialah untuk ‘membesarkan Allah’. itu jugalah yang kami tarbiahkan kepada anak-anak, agar setiap urusan yang kita laksanakan dimulakan dengan niat ‘lillah billah’, untuk membesarkan Allah semata-mata.

SYAHADAH 2X: Lafaz ‘dua kalimah syahadah’ pula merupakan signifikan untuk kembalikan dasar seruan kepada Allah dan Muhammad Rasulullah SAW. Tugas kita sebagai hamba adalah untuk meneruskan urusan membesarkan Allah yang diwariskan oleh Rasulullah SAW agar Islam kekal unggul dan mampu disaksikan manusia sehingga sanggup berjanji setia dengan syahadah itu.

SERUAN UNTUK SOLAT & BERJAYA 2X. Solat itu mencegah keji dan mungkar. Solat itu DOA/SERUAN ke arah pembangunan agama (AQIMUDDIN). Maka secara praktikalnya, seruan azan ini untuk mengajak manusia kembali kepada Allah dan Rasul, melalui satu hubungan interaksi (SILAH) yang dinamakan SOLAT.

Dalam solat ada unsur tarbiah melalui ilmu alquran, ada disiplin kepatuhan, pengabdian, ada unsur arahan dan gerak kerja. Dalam solat ada disiplin hidup berjemaah dalam membentuk satu aktiviti amal. Di situlah datangnya kelebihan solat berjemaah. Itulah seruan kejayaan untuk membina dan mendirikan agama melalui SOLAT.

“Sesungguhnya telah berjaya orang-orang beriman, iaitu orang-orang yang solat dengan khusyuk.”Al-mukminun 23/1-2.

TAKBIR & TAUHID (TAHLIL) : Kita hanya digelar berjaya di sisi Allah apabila sistem kehidupan Islam ini tertegak sempurna dengan sepenuhnya dan perbuatan keji dan mungkar berjaya dihapuskan. Ini adalah suatu yang sukar dan hanya dengan petunjuk Allah sahajalah ianya bakal mampu dicapai. Kerana itu apabila ia tercapai, manusia akan tersungkur sujud dengan luahan tulus… ‘LA’ILAHAILLALLAH’.

IQOMAH : Pada dasarnya ia merupakan panggilan terakhir secara ringkas sejurus sebelum mendirikan solat. Lafaznya sama dengan azan kecuali ia tidak lagi diulang sebanyak 2 kali dan ditambah pula dengan seruan “Qodqomatissolatu Qodqomatissolah”. Ia adalah SERUAN UNTUK BANGKIT MENDIRIKAN AGAMA MELALUI SOLAT.

BAGAIMANA MENTARBIAH PELAKSANAAN AZAN SECARA ACTUAL?

Kami tarbiahkan bahawa seruan utama kepada anak-anak adalah bertujuan untuk membesarkan Allah itu sendiri. Dalam pada kita mahu membesarkan Allah, ada seruan untuk kita lihat semula dan sentiasa memantapkan syahadah kita. Adakah kita benar-benar bertuhankan Allah dan berasulkan Muhammad SAW? ataupun kita masih lagi mengadakan sekutu-sekutu sembahan seperti harta, takhta dan wanita? Adakalanya hiburan di TV dan bola lebih besar dari Allah pun..!!

Selepas membesarkan Allah dan memantapkan syahadah barulah kita melakukan solat. Tujuan solat pula ialah untuk KITA MENUJU KEJAYAAN. Solat bagaimanakah yang akan menjadikan Islam agama yang mana ummatnya juga berjaya di dunia dan akhirat? Kami akan kupas semua ini satu persatu dalam kupasan rukun-rukun solat dan kaitannya dalam disiplin kehidupan kita dalam siri berikutnya.

Hari ini kita jelas, Azan ialah seruan untuk kita berjaya dalam membesarkan Allah. Apabila ALLAH telah berjaya dilihat manusia sebagai BESAR/AGUNG melalui hasil baik dari perlaksanaan segala perintahnya dengan sempurna, barulah syahadah kita dilengkapkan sepertimana disebut di akhir azan itu sendiri.

KEHEBATAN AZAN

Azan ini satu strategi besar yang diulang-ulangi dalam usaha membesarkan Allah. Ia tidak pernah terputus setiap saat kerana dilaungkan di setiap waktu solat yang saling bersambung di garisan waktu di seluruh mukabumi. Kerana itu juga ia ada roh atau aura elektromegnatiknya yang tersendiri.

Di samping panggilan untuk solat, azan juga turut dilaungkan ketika kita berhadapan dengan pelbagai bentuk ancaman bencana alam dan berusaha memohon perlindungan Allah. Azan kita waktu itu adalah untuk menyatakan rasa rendah diri, tidak berdaya dan mengaku kalah dengan membesarkan Allah. Azan juga disunnatkan ketika menyambut kelahiran seorang bayi sebagai satu tarbiah awal agar anak itu terdidik menjadi insan yang HANYA mendengar seruan dan membesarkan Allah sahaja.

Untuk kita meninggikan kalimah tauhid “Lailahaillallah”, perlulah kita besarkan ‘Allah’nya terlebih dahulu. Untuk itu, kita perlu jadi ummat yang berjaya. Untuk berjaya kita perlu bersolat. Untuk bersolat kita perlu periksa kembali syahadah kita, bahawasanya kita hanya bertuhankan Allah dan berasulkan Muhammad Rasulullah SAW.

Dalam kerangka disiplin pengurusan organisasi, secara konsepnya azan juga berlaku. Contohnya pada suatu taqwim syuro yang telah ditentukan, akan berlaku panggilan untuk kita berkumpul di dewan. Setelah cukup korum, ada panggilan akhir pula (iqomah) untuk memasuki bilik mesyuarat. Dalam bilik mesyuarat itu berlakunya SILAH, kata pokok kepada SOLAT, ataupun lebih dikenali sebagai SILATURRAHIM. Itulah satu pertalian maklumat antara ketua dengan ahli, ahli dengan ketua, serta ahli sesama ahli.

SILAH ini perlu LANCAR, barulah pengurusan organisasi akan jadi tip top. Ini mampu menjadikan organisasi itu berdaya saing dan maju. Di situlah segala krisis diselesaikan, hubungan jemaah dieratkan dan segala petunjuk untuk menjayakan misi organisasi disampaikan. Itulah dia SILAH ke arah kejayaan.

Dengan kejayaan itulah organisasi itu dibesarkan dan dipandang tinggi akhirnya. Jika itu sebuah organisasi ISLAM yang diketahui umum menggunakan SISTEM ISLAM, Agama ALLAH, pastilah ia akan dihormati dan disanjung manusia. Itulah hakikat bagaimana Allah dibesarkan melalui keberkesanan perlaksanaan sistemNya.

Bukankah itu satu disiplin azan yang kita bawa dalam kehidupan harian? Rugilah jika satu ritual yang sering kita lalui tetapi tidak memberi impak kepada kehidupan kita secara actual. Semoga dengan perkongsian ini akan mampu membuka perspektif baru untuk kita menzahirkan azan yang ritual itu ke dalam skop kehidupan berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara.

KESIMPULAN

AKHLAK ialah ukuran kepatuhan seorang individu terhadap penciptanya (AL-KHOLIQ). Keperluan menyeru untuk solat dan tuntutan bertindakbalas dengan seruan itu adalah salah satu dari kehendak Allah, pencipta kita.

Setiap lafaz azan yang diulangi 2 kali dan setiap kali itu juga ia perlu disahut oleh siapa sahaja yang mendengarnya. Di RPWP kami padankan ritual azan ini menjadi modul pendidikan akhlak ‘cara Allah’. Anak-anak sentiasa diminta bergegas menjawab panggilan dan seruan murobbi untuk menunjukkan mereka menghormati dan patuh kepada pengatur mereka. Jangan kata tidak datang apabila dipanggil, tidak menoleh dan menyahut juga sudah dikira biadab dan tidak berakhlak.

Di samping itu, para murobbi juga kami minta agar memastikan sentiasa melakukan seruan secara berulang-ulang dalam memastikan anak-anak mematuhi takwim rutin mereka. Selari dengan disiplin azan, kita harus lakukannya setiap waktu walaupun masing-masing diri telahpun diperintahkan untuk menjaga waktu dan takwim itu.

Secara langsung dapat kita lihat yang setiap lafaz azan itu diulangi sekurang-kurangnya sebanyak 3 kali, 2 kali sewaktu azan dan sekali lagi ketika iqomah. Setiap kali itu jugalah kita harus pastikan anak-anak menunjukkan tanda yang mereka dapat mendengarnya melalui sahutan dengan menyebut lafaz yang sama serta menghadirkan diri masing-masing ke tempat atau lokasi yang ditetapkan.

Ini sekadar cetusan yang kami amalkan. Anda bebas untuk mencari tambahan yang berkaitan selagi ianya mampu menampakkan modul pendidikan Islam terhadap anak-anak kita. Ikuti siri RAHSIA SOLAT seterusnya minggu depan Insyaallah.

Semuga bermanafaat.
WARGA PRIHATIN

No comments:

Post a Comment