Tuesday 20 October 2015

BAPA PENENTU SYURGA RUMAHTANGGA


 

Berbagai bagai bentuk ucapan memenuhi ruang timeline sempena hari bapa kelmarin. Warga Prihatin turut mengucapkan hari bapa kepada pembaca yang amat dikasihi. Namun seperti biasa ucapan itu ingin kami luahkan dalam bentuk perkongsian ilmu keibubapaan.

Selama ini kita banyak menceritakan tentang ketetapan, atau kewajiban yang telah ditentukan sebagai bapa melalui rukun nikah pertama iaitu LELAKI. Kali ini ingin kami kongikan secara langsung beberapa tips atau hikmah perlaksanaan ke arah memenuhi ketetapan itu.

Ketetapan hukum yang menetapkan kewajiban bagi seorang lelaki atau bapa itu ada ternukil dalam KITAB. Kaedah terbaik perlaksanaan ke arah memenuhi hukum dan kewajiban itu pula dipanggil HIKMAH dan ia ada pada sunnah-sunnah rasul. (QS:62/2).

Oleh itu, untuk berjaya memainkan peranan sebagai bapa, maka kita tiada pilihan melainkan merujuk kepada KITAB dan HIKMAH. Dahulu mungkin kita meraba-raba dan mencuba cuba dengan cara kita sendiri. Kerana itu lalu terbentuklah generasi yang haru biru seperti sekarang ini, banyaknya terbentuk anak yang jauh dari pedoman agama, tidak mendengar kata, mudah terpengaruh dengan budaya asing serta pelbagai kecacatan akhlak dan minda.

Semua itu telah banyak membuatkan kita berada dalam keadaan ramadh atau panas. Kebetulan sempena ramadhan yang bakal tiba ini, mari kita bekukan dahulu, kita puasakan dahulu apa sahaja metodologi yang kita guna dan kita kembali gunakan semula cara yang Allah dan rasul sarankan. Jika dahulu kita tegak dengan pokok pendirian kita sendiri yang jelas kurang berhasil, kali ini mari kita tunduk kepada pokok pendirian berdasarkan iman kita kepada hukum hakam Allah.

TIPS MENJADIKAN BAPA SEBAGAI ABAL HAKAM

Tidak guna kita banyak membaca dan bercerita tentang hukum hakam jika kita tidak kaji sunnah perlaksanaan yang penuh hikmah atau bijaksana ke arah itu. Ia ibarat membaca peta tanpa mencari kereta untuk menuju ke tempat dalam peta itu.

Bagaimana mungkin seorang bapa boleh jadi hakim jika dia tiada rujukan ketetapan dan bagaimana melaksanakan ketetapan itu dengan bijaksana. Itulah hakikat peranan ‘hakim yang bijaksana’ bagi seorang bapa selaku abal hakam dalam rumahtangga.

Jika bapa hanya membacakan ketetapan hukum kepada isi rumah yang dipimpin tanpa bijak menilai asbab dan situasi, mungkin ia akan dinafikan secara semula jadi oleh ahli keluarganya dan akhirnya dia akan kecewa. Oleh itu bapa harus bijak menerapkan hukum hakam yang telah Allah berikan dengan merujuk pula kepada kaedah bagaimana cara rasulullah SAW menerapkannya dalam kehidupan harian.

RPWP menetapkan para bapa perlu berusaha mencari jalan dan memperbaiki diri sendiri sebelum mampu mendidik anak-anak yatim dan asnaf jagaan. Kami mengkaji dan menetapkan semua ketetapan dan hikmah itu secara nahniah melalui perkongsian berjemaah. Setiap permasalahan anak-anak dan para ibu dalam komuniti kecil ini dibincangkan secara terbuka bersama sama untuk mendapatkan penyelesaiannya. Ia kemudiannya dijadikan satu piawaian sebagai kayu pengukur.

Ketelusan dan keikhlasan untuk mencari redha Allah harus mampu mengatasi segala ego peribadi. Untuk mendapatkan penyelesaian melalui syuro, maka setiap diri akan kongsikan segala-galanya tanpa menyembunyikan sebarang fakta biarpun ia melibatkan kelemahan diri sendiri. Fakta itu dibincangkan dan dirumus bersama dengan mencari rujukan ketetapan dari quran dan sunnah perlaksanaan para nabi dan rasul terdahulu.

Lama kelamaan, perkongsian segala hal ehwal harian itu terkumpul dan menjadi satu himpunan testimoni yang boleh digunapakai sebagai pedoman di masa depan. Hasilnya membuatkan para bapa RPWP menjadi sangat YAKIN dengan segala ketetapan yang dibawa untuk dilaksanakan dalam keluarga masing masing. Anak dan isteri mereka sendiri jadi mudah untuk tunduk patuh kerana menyedari bahawa itu adalah ketetapan secara berjemaah.

Dari hasil perlaksanaan berdasarkan ALKITAB dan ALHIKMAH itu kami jadikan asas BASMALAH sebagai pedoman hidup memainkan peranan seorang bapa sepanjang hari. RAHMAT dari rujukan itulah juga yang kami gunakan dengan yakin untuk membentuk anak-anak yatim dan asnaf jagaan kami. Keinginan melihat kejayaan dari rahmat ilmu dan pedoman dari sistem Islam itu telah membuatkan kami bersemangat melaksanakannya dengan penuh kasih sayang (RAHIM).

Sebelum menjadi abal hakam yang baik dan mampu menundukkan anak isteri, seorang bapa harus terlebih dahulu boleh ditundukkan egonya untuk kembali patuh kepada ketetapan Allah. Alhamdulillah, kami dapati tidaklah susah untuk menjadikan isteri dan anak kita kembali kepada Allah jika kita sendiri sebagai bapa dilihat oleh anak isteri sanggup mengakui kesilapan dan mahu tunduk kepada teguran.

Yang menjadi masalah kita selama ini ialah anak isteri tidak mahu tunduk sepenuhnya kepada arahan bapa. Mengapa begitu? Kerana bapa sendiri membuat ketetapan itu dan ini dengan mengikut nafsu sendiri tanpa rujukan yang jelas dari kitab dan sunnah. Lebih parah lagi bila bapa sendiri tidak menjalankan kewajiban sebagai bapa mengikut kehendak Allah, tetapi meminta anak isteri mematuhi seruan tuhannya.. ibarat ketam mengajar anak berjalan lurus.

SYURGA DI BAWAH TAPAK KAKI IBU, BAPA SEBAGAI PENENTUNYA

Syurga itu adalah DARUSSALAM, satu tempat yang tenang dan sejahtera. Neraka itu adalah azab api yang menyala-nyala. Jika kita ikut aturan Allah di dunia ini maka hidup keluarga kita akan teratur dan sejahtera dengan peraturan itu.

Nikmat syurga itu bakal kita kecapi di atas dunia ini lagi melalui konsep ‘rumah ku syurga ku’. Pencapaian di dunia itu adalah balasan pendahuluan (advance) dari Allah secara alami dan bakal menjadi tiket untuk peluang masuk ke syurga abadi selepas mati nanti. Jangan harap akan menempati syurga di alam satu lagi jika kita gagal mengecapi kebahagiaan syurga hasil dari perlaksanaan yang betul di dunia ini.

Begitu jugalah sebaliknya jika kita tidak menggunakan aturan pencipta yang maha mengetahui akan apa yang terbaik untuk kita makhluk ciptaanNya, maka hidup kita akan tonggang langgang. Anak isteri akan mudah menolak aturan bapa yang hanya mengikut ‘kepala sendiri’. Jika menerima pun tanpa redha, dengan rasa tertekan dan terpaksa.

Aturan ciptaan manusia tidak akan mampu menandingi kesyumulan aturan Allah. Anak isteri yang menolak akan jadi keras kepala laksana batu. Pergeseran kepala kepala batu inilah yang menjadi bahan bakar api neraka rumahtangga yang panas berapi api. Inilah gambaran neraka yang pastinya bakal menjadi tiket ke neraka yang satu lagi. (QS: 3/10, QS:2/24, QS:66/6)

Jelaslah bapa menjadi penentu syurga dan neraka anak isteri kerana syurga anak di bawah tapak kaki (langkah kaki) ibu. Syurga ibu pula di bawah tapak kaki (langkah) si bapa. Jika bapa membawa ibu melangkah ke neraka, maka isteri dan anak yang mematuhi langkah dan arahannya juga bakal ikut terjun ke neraka. Begitulah besarnya peranan bapa.

TIPS PERANAN BAPA DALAM MEMUDAHKAN TUGAS IBU

Seorang bapa itu seperti seorang hakim dalam rumahtangga, tidak perlu terlalu banyak cakap seperti seorang ibu. Sebelum ini ada kami kongsikan bagaimana peranan bapa sebagai penentu dalam usaha membantu isteri dan ibu kepada anak-anaknya. Jika anak tidak mahu mematuhi nasihat ibu sampai 3 KALI, maka dengan SEKALI nasihat dari seorang bapa yang qowwam sudah cukup untuk dipatuhi sebagai kata pemutus.

Mengurus rumahtangga adalah sesuatu yang memenatkan. Ramai para ibu hari ini yang jadi stress jika bapa tidak ikut mainkan peranan dalam mengendalikan karenah anak-anak dan hal ehwal rumahtangga. Dengan segala macam pancaroba hidup hari ini, ramai anak anak yang mengambil kesempatan dengan sifat kelembutan semulajadi seorang ibu. Di sinilah peranan bapa yang qowwam dengan ilmunya yang jelas dan meyakinkan amat diperlukan.

Kita mungkin bayangkan bapa yang qowwam semestinya garang macam singa 24 jam. Sebenarnya itu tidak benar kerana ketegasan bapa boleh ditampilkan juga melalui kelembutan. Di RPWP, kami kongsikan segala pengalaman baik dan buruk dari setiap individu. Kami diajar waktu bila harus berlembut dan bilamasa untuk berkeras. Ibarat makanan yang perlu ada cukup ramuan gula, garam dan cukanya juga. Terlalu banyak gula akan jadi kencing manis, banyak garam jadi darah tinggi dan terlalu banyak cuka akan membuatkan suasana jadi masam.

Pernah kami kongsikan tips peranan bapa dalam mengatasi kesukaran membangunkan anak dari tidur yang biasa dialami oleh para ibu. Klip video kandid berikut ini adalah salah satu kaedah yang pernah terakam dalam kehidupan kami di RPWP. Mungkin ia boleh dijadikan pedoman bersama.


Anda lihat dalam video di atas bagaimana sang bapa tidak menampakkan unsur keganasan sama sekali semasa mengejutkan anaknya. Yang penting ialah memulakan habit itu dari awal untuk beberapa ketika sahaja sebagai latihan. Sunnahnya ialah ‘mengajar anak bermula dari buaian’.

Selepas anak terlatih, maka ibu akan mudah meneruskannya tanpa masalah dan ayah boleh meneruskan kerjanya seperti biasa. Masalah yang melanda sebahagian dari kita ialah tidak memulakan pendidikan dari kecil. Kita sedar setelah anak-anak kita menjadi degil dan keras kepala.

Video berikut ini pula menampakkan bagaimana kreativiti seorang bapa dalam memudahkan tugas ibu yang mengajar anak anak mengaji. Ibu mengajar, bapa menyemak hafazan dan memupuk keyakinan diri pada anak anak mereka. Kreativiti penggunaan mikofon contohnya boleh memupuk keyakinan dan membuang ketakutan pentas kepada anak-anak.

Hari ini kita hanya kontrakkan pendidikan agama anak-anak kita kepada ustaz dan ustazah semata-mata. Jika ada pun seorang dua ibu ibu yang dipalau untuk mengajar sendiri anaknya. Sang bapa tidak ambil tahu dan tidak memainkan peranan sama sekali.

Tilawah

Tips video berikut pula merujuk kepada peranan bapa untuk mendidik anak anak melalui tarbiah di sebalik hukuman. Seusia 5 tahun sudah diperkenalkan hukuman rotan bersama penjelasan atau tarbiah kepada si anak mengapa mereka harus di hukum. Hasilnya anak ini memahami dan tidak perlu pun selalu di rotan.


Jika kita tidak lakukan lebih awal, maka anak ini mungkin akan dirotan oleh pihak sekolah atau penjara, bahkan mungkin dipukul oleh masyarakat dan ia pasti akan mencederakan hati dan jasad mereka. Fenomena memberikan rotan kepada guru sewaktu menghantar anak ke sekolah juga telah membuatkan anak RPWP kurang dirotan. Ini berbeza dengan anak yang tidak boleh dirotan guru lalu akhirnya mengalami masalah disiplin yang parah.

KESIMPULAN

Jika ingin menilai pemimpin, lihatlah anak buahnya. Oleh itu, anak dan isteri adalah cerminan bapa. Begitu besarnya peranan seorang bapa dan suami dalam menentukan hala tuju syurga dan neraka sesebuah keluarga.

Jika bapa mampu menunjukkan langkah ke syurga kepada isteri yang mematuhinya, pastilah isteri itu akan ikut melangkah ke syurga. Ibu yang sama juga akan meneruskan bimbingan langkah ke syurga kepada anak-anaknya. Barulah tepat ‘syurga isteri di bawah tapak kaki suami’, ‘syurga anak di bawah tapak kaki ibu’. Barulah tercipta ‘RUMAHKU SYURGAKU’.

Keperluan jemaah yang hidup bersahabat seperti sebuah keluarga amat diperlukan untuk menentukan betul salahnya peranan yang dimainkan oleh mereka. Ramai bapa yang diingkari anak dan isterinya kerana mereka mengatur dengan aturan ciptaan sendiri yang amat lemah dan tidak mampu meyakinkan anak isteri mereka sama sekali.

Untuk mendapatkan aturan yang mantap, diyakini dan mudah dipatuhi, para bapa harus ada jemaah yang ikhlas dan ingin sama sama berkongsi masalah dan ilmu untuk memperbaiki diri melalui amal soleh, praktik hidup yang membawa perubahan (islah).

SELAMAT HARI BAPA.
Warga Prihatin

No comments:

Post a Comment